Wednesday 17 July 2013

Ibu Menyusu : "Saya Belum Kenyang Mama"!


Bayi asyik menangis walaupun sudah disusukan? Eishh... kenapa tak kenyang-kenyang lagi ni? Mungkin ada ibu terutama yang baru mendapat bayi keliru dengan situasi begini. Bagaimana saya akan tahu bayi saya mendapat susu yang cukup?

Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya sama ada bayi mendapat susu yang secukupnya atau tidak. Terutamanya jika dia mahu menyusu setiap masa atau nampak tidak puas selepas menyusu.

Selepas satu atau dua hari pertama, bayi akan selalu berasa lapar. Kemungkinannya memang dia lapar kerana susu badan selesai dicernakan dalam masa dua jam selepas menyusu. Kebanyakkan bayi baru lahir mahu menyusu lapan hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya.


Ramai bayi yang masih menyusu 10-12 kali sehari selepas minggu pertama. Bayi akan terus menyusu begini sehingga satu minggu lagi sebelum mengurangkan penyusuan ke lapan hingga 10 kali sehari. Susukan bayi anda sekerap yang dia kehendaki. Memang anda tidak boleh berbuat hal lain kecuali menyusukan si kecil dalam beberapa minggu awal kelahirannya.

Bagaimanapun berat bayi selalunya turun lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama atau seterusnya. Walau bagaimanapun, bayi sepatutnya menambah berat badan selepas itu, dan jika anda menimbangnya semula pada hari ke-10 hingga ke-14, anda akan mendapati berat badan bayi sudah pulih kepada berat lahirnya.

Terdapat beberapa cara mengukur jika bayi anda menyusu secukupnya dan terdapat juga tanda-tanda yang dia tidak menyusu secukupnya. Ini termasuklah :-

  1. Bayi menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama.
  2. Payu dara anda sudah melepaskan susu sepenuhnya dan berasa lebih lembut selepas penyusuan.
  3. Kulit bayi anda berasa tegang. Ia akan memantul semula apabila dicubit.
  4. Sepatutnya terdapat sekurang-kurannya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau.
  5. Bayi menelan semasa penyusuan.
  6. Najis bayi berwarna kuning gelap atau sering gelap atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran.
Apa pula tanda-tanda bayi tidak mendapat susu secukupnya?
  1. Bayi tidak mendapat balik berat lahirnya atau menambahkan berat badan selepas dua minggu.
  2. Payu dara anda tidak berasa lebih lembut selepas penyusuan.
  3. Bayi anda meragam atau sering letih.
  4. Pipi bayi lekung atau membuat bunyi berdecit semasa menyusu. (Ini adalah tanda yang bayi anda tidak menghisap dengan betul dan anda perlu mendapatkan nasihat pakar perunding penyusuan untuk memastikan anda menggunakan teknik yang betul.)
  5. Selepas hari ke-5 kelahiran, anda tidak menyalin lampin bayi anda sebanyak enam hingga lapan kali dalam masa 24 jam.
  6. Bayi tidak membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari atau najisnya masih berwarna gelap lima hari atau lebih selepas kelahiran.
  7. Bayi semakin berwarna kekuningan selepas minggu pertama.
  8. Muka bayi tidak berisi dalam masa tiga minggu.
  9. Kulit bayi tetap berkerut selepas minggu pertama.
Dapatkan tips penyusuan yang betul di SINI.

No comments:

Post a Comment