Thursday 2 May 2013

10 Surah yang Baik Diamalkan Dalam Kehidupan Seharian

Salam Jumaat semua, di sini saya ingin berkongsi  kepada semua 10 surah yang baik diamalkan dalam kehidupan seharian. Semoga artikel ini bermanfaat untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian.

10 surah yang baik diamalkan dalam kehidupan seharian | Surah - suratun merupakan perkataan arab bagi "bab dalam Al-Quran". Surah-surah tersebut telah diturunkan sepanjang 23 tahun dan mempunyai ciri-ciri dan kronologi masa yang tersendiri. Jumlah surah yang terdapat dalam al-Quran adalah 114; yang mana nama-nama dan had-had bagi setiap surah serta susunan ayat itu sendiri adalah menurut ketentuan yang telah ditetapkan dan diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sebahagian dari surah-surah mempunyai satu nama dan ada yang mempunyai lebih dari satu nama.



10 Surah yang Baik Diamalkan.


1. SURAH AL-FATIHAH


Amalkan membaca Surah AL-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya'Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Quran ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Quran. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai 10 kali membaca Al-Quran seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w juga bersabda: Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun di akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu Hibban). Surah Yaasin ini juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AT-DHUHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI'AH

Ayat 35-38

Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya'Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya'Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali selepas solat Asar, insya'Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikkan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah: "Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara ( yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta  yang sebaya dengan umurnya.

5. SURAH AL-KHAUTHAR

Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikkan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya'Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KHAAFIRUUN

Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Quran, di samping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK

Sebuah lagi Surah dari Al-Quran iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadhilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca surah ini, akan mendapat faedah syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya'Allah, akan terselamat dari azab kubur.

8. SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya: "Wahai Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Quran." Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suamiku, saya tidak mampu khatam Al-Quran sebanyak 30 juzuk itu". Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Quran keseluruhannya. "Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., "Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan: "Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat."

9. SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan : "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerapa perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari, atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah An-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

10. SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Quran. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulangkali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahupun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati. 

Dan jangan lupa untuk membaca Surah Al-Kahfi di hari Jumaat ni ya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya antara dua Jumaat (dari Jumaat ke Jumaat)". - Riwayat al-Baihaqi.

Semoga kita semua sentiasa berada di bawah rahmat Allah s.w.t... Jom bersama-sama kita kongsi perkara yang baik ini, semoga bermanfaat untuk semua.

Wassalam, 

MommyLiyana
















No comments:

Post a Comment