Monday, 6 January 2014

Nak Sihat? BERSOLATlah!


SOLAT adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan. Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikkan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya. Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat.

Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr.Fatimah Ibrahim, dalam pembentangan kajian bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya Dalam Solat, menjelaskan bahawa pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan. Antaranya ialah :-



1. Merehatkan Badan 


Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat. Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakkan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.

2.  Melegakan Tulang Belakang

Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua-dua belah lutut dengan meluruskan tangan. Posisi 90 darjah seperti disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.

3. Menguatkan Otot.

Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

4. Jantung lebih Sihat

Manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat. Jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia. Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60 - 80 denyutan seminit. Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit. Semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga. Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia. Dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.

5. Mencegah Penyakit Darah Tinggi

Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi. Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit. Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala. Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat. Posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.

6. Mengawal Emosi

Ibadat solat lima waktu juga mampu mengawal emosi dan tahap kestabilan mental seseorang. Walau bagaimanapun, ia harus dikerjakan dengan tertib dan sempurna.

Semoga bermanfaat kepada pembaca semua.

Wassalam,

MommyLiyana

No comments:

Post a Comment