Sunday, 11 May 2014

7 Senaman Ibu Mengandung Agar Senang Bersalin


Senaman semasa hamil juga penting agar ibu sentiasa dalam keadaan sihat dan cergas. Namun demikian, ibu hamil tidak boleh melakukan senaman yang berat dan melakukan pergerakan yang boleh mengundang bahaya kepada ibu dan janin di dalam kandungan. Gerakan semasa bersenam dapat membantu otot-otot bersedia untuk bersalin kelak.

Berikut merupakan senaman ringkas untuk ibu hamil.


1. Senaman Pelvik Floor

Senaman ini bukan sahaja berguna untuk ibu hamil, malah kepada semua orang. Semasa hamil, otot-otot pelvik menjadi lemah kerana menampung beban yang banyak. Akibatnya, seseorang itu akan mudah terkencing semasa bersin ataupun batuk. Senaman ini akan membantu menguatkan otot-otot pelvik. Caranya ialah dengan melakukan kemutan. Tahan seperti menahan kencing dan bernafas seperti biasa. Lakukan dengan kiraan 6 saat, kemudian rehat dan ulang semula. Senaman ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sebanyak mana yang anda mahu.

2. Melakukan Regangan

(a) Secara berbaring
Baring telentang dan letakkan kedua-dua tangan di sisi. Tekuk kaki kanan dengan keadaan tapak kaki kiri ditegakkan ke atas sehingga jari kaki mengarah ke muka anda. Tahan seketika kemudian ulang semula dengan menekuk kari kiri pula. Lakukan secara bergilir kaki kiri dan kanan.

(b) Secara duduk
Duduk diatas lantai dalam keadaan kedua-dua tumit kaki ditemukan. Dengan menggunakan tangan, tarik kaki yang bertemu itu ke arah tubuh (ke dalam) mengikut kemampuan. Kemudian, tekan lutut ke arah lantai secara perlahan-lahan. Boleh menggunakan tangan untuk menekan lutut tetapi jangan tekan terlalu kuat. 

(c) Secara Berdiri
Regangan ini dipanggil regangan mata kaki. Berdiri menghadap dinding dalam keadaan kaki kanan di hadapan dan kaki kiri di belakang. Tekapkan kedua tapak tangan ke dinding (seperti dalam keadaan menahan dinding dari tumbang). Siku anda akan otomatik terbengkok semasa anda melakukan regangan ini.

(d) Regang Lengan
Regangan ini boleh dilakukan semasa duduk ataupun berdiri. Angkat kedua-dua belah tangan anda ke arah atas seperti mahu melambai. Selepas itu, cuba menjangkau ke langit menggunakan sebelah lengan. Lakukan lengan sebelah lagi dan ulang perbuatan ini secara bergilir-gilir.

(e) Regang Tubuh
Duduk diatas lantai dengan kedua-dua kaki direntangkan. Kemudian, hulur lengan kanan ke arah pergelangan kaki dan angkat lengan kiri ke atas kepala menghala ke arah kanan secara perlahan-lahan. Ulang gerakan ini selama beberapa kali kemudian tukar posisi satu lagi pula. Lakukan berselang seli kiri dan kanan. Kesan akan dirasai pada bahagian pinggang semasa meregang.

3. Bertinggung

Bertinggung seakan mencangkung, tetapi bertinggung ditahan oleh jari kaki manakala mencangkung ditahan oleh tapak kaki. Semasa bertinggung, kaki berada dalam keadaan bertinjit. Letakkan kedua-dua tangan di atas kedua-dua belah lutut dan tahan selama yang mampu. Lakukan senaman ini sekerap yang anda mahu. Bertinggung merupakan satu senaman yang boleh meredakan ketegangan punggung serta membantu meregangkan kaki.

4. Berenang


Ibu hamil sememangnya disarankan untuk berenang. Ini adalah kerana, berenang boleh memberikan keadaan terapung atau dalam keadaan tanpa beban. Kawalan pernafasan semasa berenang akan dapat membantu semasa proses bersalin nanti kerana nafas yang panjang bakal diperlukan semasa meneran. Selain itu, berenang juga dapat menguatkan otot-otot semasa berada di dalam air. Tekanan air akan membuatkan otot anda bekerja lebih sikit daripada biasa.

5. Berjalan kaki

Berjalan kaki bukan sahaja boleh mengeluarkan peluh, malah dapat membantu menggerakkan otot-otot yang bakal diperlukan semasa bersalin. Mulakan berjalan kaki secara perlahan dengan jarak yang pendek. Lakukan sebanyak 3 kali dalam seminggu. Kemudian, anda boleh menambahkan sedikit kelajuan semasa berjalan dan juga menambah jarak. Senaman ini juga sesuai dilakukan ditempat berhawa dingin seperti dipusat membeli-belah.

6. Menaiki Tangga



Bersyukurlah jika lif dipejabat rosak sekali sekala. Jika tidak, anda mungkin tidak mahu untuk menaiki tangga. Senaman ini tidak sesuai dilakukan pada awal kehamilan kerana dikhuatiri rahim ibu masih belum kuat untuk menghadapi tekanan semasa menaiki tangga. Menaiki tangga banyak melibatkan otot peha dan pelvik. Menaiki tangga dengan kerap tetapi tidak terlalu laju dipercayai dapat mempercepat bukaan prineum dan memudahkan proses bersalin.

7. Kerja Rumah

Siapa bilang kerja-kerja dirumah tidak meletihkan? Sememangnya ibu hamil perlu banyak berehat. Walaubagaimanapun, ibu hamil digalakkan melakukan kerja-kerja rumah yang tidak berat. Untuk ibu yang hamil di awal kehamilan, kerja-kerja seperti menyapu lantai & menyidai pakaian tidak menjadi masalah. Elakkan dari mengemop lantai, mencuci bilik mandi dan mengangkat barang yang berat kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada ibu hamil atau janin di dalam kandungan.

Kesimpulan

Bersenam terbukti dapat membantu anda dan amat berfaedah kepada ibu hamil serta bayi yang dikandung. Namun begitu, perlu dirujuk kepada pakar terlebih dahulu sekiranya ada komplikasi yang boleh menghalang anda untuk bersenam sepanjang tempoh kehamilan. Pakai pakaian yang sesuai semasa bersenam. Bersenamlah mengikut kemampuan dan jangan sesekali memaksa diri. Minum banyak air dan jangan bersenam semasa sedang sakit. 

Ibu hamil juga memerlukan nutrisi penting untuk kesihatan ibu dan bayi. Artikel penuh boleh klik di SINI.

Wassalam,


1 comment:

  1. salam kenal..
    mau tanya untuk gerakan senam hamil ini ada berapamacam...
    dan kalau baju senam wanita untuk ibuhamil itu seperti apa ya...
    mohon infonya

    ReplyDelete