Thursday, 21 June 2012

Menggapai Ramadhan


Rejab seperti angin yang mula bertiup, Sya'aban seperti sekumpulan awan hitam bergumpalan dan Ramadan adalah seperti titisan air hujan yang menurunkan seribu rahmat.
Begitulah bibit-bibit puisi indah daripada Abu Bakar Al-Warraq.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah jika diizinkan Allah SWT untuk menemui lagi Ramadan yang bakal membuka tirainya dalam masa tidak sampai dua bulan. Umat manusia seringkali berharap agar dapat bersama Ramadan sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengannya pada tahun akan datang.
Rasulullah SAW bersabda, dalam hadisnya yang bermaksud: "Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan Ramadan mereka pasti mengharapkan biarlah Ramadan itu sepanjang tahun". (Riwayat at-Tabrani)

Ramadan mengikut bahasa bermaksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya'ban dan Syawal. Al‐Syeikh Sya'rawi di dalam Al‐Fatawa berkata: "Perkataan bulan رهش diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tertentu sebagai bulan". Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam supaya berpuasa selama sebulan lamanya.
Puasa dari segi bahasa dapat ditakrifkan sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam:
"...'Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat ar‐Rahman'".
(Surah Maryam, ayat 26)

Adapun begitu, dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari beserta dengan niat berpuasa pada malam harinya.
Setelah memahami maksud puasa, apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja? Dan pada masa yang sama adakah segala perbuatan yang keji masih diteruskan?
Merujuk kepada hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim: "Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa".
Ibadah berpuasa pada bulan Ramadan telah difardhukan pada bulan Sya'ban tahun ke‐2 Hijrah. Walau bagaimanapun, sebelum itu amalan puasa memang biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab sezaman dengan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman, yang bermaksud:
"Wahai orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
(Surah al‐Baqarah, ayat 183)
Sayid Qutub berkata, "Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung daripada ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa."
Ramadan adalah salah satu bulan Islam yang mempunyai kehebatan tersendiri yang mana di dalamnya terdapat seribu satu kenikmatan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT melalui salasilah pensyariatannya kepada umat Islam.
Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Antara kelebihan Ramadan ialah umat manusia akan dinaungi Ramadan. (Bagi yang telah meninggal dunia semestinya terlepas daripada azab seksa kubur.) Di dalamnya juga terdapat malam Al-Qadar yakni malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Bulan ini juga dipilih sebagai bulan untuk melakukan ibadah puasa dan ibadah lain seperti bertadarus Al-Quran, Qiyammullail, berzikir, berselawat serta ibadah sunat yang lain. Nilai amalan sunat yang dikerjakan sama dengan solat fardhu, manakala solat fardhu yang dikerjakan mendapat 70 kali ganda pahala.
Selain itu, Ramadan juga adalah bulan yang menguji kesabaran dan pahalanya adalah syurga. Ramadan juga merupakan bulan keampunan dan doa yang paling makbul ialah doa sebelum berbuka puasa, dan juga doa pada sepertiga malam.
Manakala kelebihan terbesar di dalamnya terletak pada 10 hari pertama yang  merupakan permulaan kepada rahmat, disertai 10 hari pertengahan yang merupakan Maghfirah atau keampunan daripada Allah dan 10 hari terakhir untuk dijauhkan diri dari api neraka.

Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadan ialah penurunan Kitab Al-Quran, iaitu pada malam Nuzul Al-Quran. Al-Quran merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadan atau 10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika baginda berusia genap 40 tahun 6 bulan 12 hari. Allah berfirman, yang bermaksud:
"Bulan Ramadan diturunkan padanya al Qur'an..."
(Surah al‐Baqarah, ayat 185)
Akan tetapi, terdapat perselisihan tentang tarikh tepat penurunan Al-Qur'an. Namun, menurut firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar."
(Surah al-Qadar, ayat 1)
Itulah yang menjadi bukti Lailatul Qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadan dan merupakan malam penurunan Al-Qur'an.
Lailatul Qadar juga diriwayatkan turun pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan. Hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar RA berbunyi: "Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil." (Hadis riwayat Muslim)
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
(Surah al-Qadar, ayat 1-5)
Selain itu, bulan Ramadan juga merakamkan peristiwa Perang Badar. Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Ia merupakan perang pertama di dalam Islam.
Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ. Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.
Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa kerana tentera Islam yang hanya sedikit jumlahnya dan lemah dari sudut kelengkapan, tetapi berbekalkan ibadah puasa, telah memenangi pertempuran itu.
Ini membuktikan bahawa puasa bukanlah penyebab umat Islam perlu bersikap lemah dan malas sebaliknya sentiasa berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya."
(Surah al-Imran, ayat 123 hingga 125)
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)."
(Surah al-Imran, ayat 134)
Bulan Ramadan juga menyaksikan peristiwa Fathul Makkah iaitu pembukaan kota Mekah. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan tahun 8 Hijrah. Rasulullah dan umat Islam berpuasa ketika bertolak dari Madinah dan sampai di Kadid, di antara I'sfan dan Amaj, baginda berbuka puasa.

Pembukaan kota Mekah ialah salah satu peristiwa yang terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini yang menyebabkan kekuatan islam dan penyebarannya mula berjalar ke serata alam. Peristiwa ini juga merupakan tarikh keramat kepada kesempurnaan Islam. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya kami telah membuka kepada kamu pembukaan yang benar."
(Surah al-Fath, ayat 1)
Ramadan juga merupakan bulan di mana berlakunya beberapa peperangan Tabuk pada tahun 9 hijrah. Baginda keluar ke Tabuk pada bulan Rejab dan kembali pada bulan Ramadan. Peperangan ini dikatakan berlaku selama 50 hari. Namun, secara tepatnya, peperangan di Tabuk berlaku selama 20 hari sahaja. Hari selebihnya adalah tempoh masa perjalanan pergi dan balik. Peperangan Tabuk ialah peperangan yang terakhir yang diikuti oleh Nabi Muhammad SAW.
Kesimpulannya, Ramadan merupakan salah satu bulan yang hebat. Faktor berpuasa tidak menjadi penghalang umat Islam untuk beribadah dan berjihad. Ayuh, rebutlah seberapa banyak dalam melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan dan lipat gandakanlah pahala sebagai bekalan menuju Allah kelak. Jika dalam bulan yang lain kita semua liat dalam melakukan ibadah sunat, maka rebutlah peluang perbanyakkan ibadah pada bulan Ramadan.

No comments:

Post a Comment