Thursday, 14 February 2013

Tanda-tanda Keguguran di Awal Kehamilan



Keguguran pada awal kehamilan ialah keguguran yang berlaku dalam 12 minggu pertama kehamilan. Agak malang kerana perkara ini kerap berlaku, malah tidak mustahil bagi anda mengalami keguguran walaupun sebelum anda tahu bahawa anda hamil. Dianggarkan sebanyak tiga perempat daripada semua telur yang disenyawakan akan gugur dalam minggu-minggu awal kehamilan ini. Selepas ujian kehamilan yang positif, terdapat kira-kira satu dalam lima kemungkinan kehamilan itu akan gugur. Sebab di awal kehamilan inilah kebanyakkan kes keguguran berlaku.


Apakah yang menyebabkan Keguguran pada awal Kehamilan?

Keguguran pada awal kehamilan biasanya berlaku kerana embrio tidak berkembang seperti yang sepatutnya. Masalah kromosom juga dikatakan adalah penyebab yang biasa. Masalah-masalah ini biasanya berlaku tanpa sebarang sebab dan mungkin tidak akan berlaku lagi.

Bayi memerlukan jumlah kromosom normal yang tepat untuk dia berkembang seperti sepatutnya. Bayi memerlukan 23 kromosom daripada ibu dan 23 lagi daripada bapa. Ketaknormalan kromosom boleh menghalang bayi daripada berkembang. Hal ini mungkin berlaku kerana jumlah kromosom tidak tepat atau kerana terdapat perubahan dalam struktur kromosom tersebut. Dalam kes ini, kehamilan akan terhenti pada fasa embrio.


Gejala dan tanda keguguran termasuklah :-
  • Pendarahan ~ Pendarahan faraj yang mungkin sedikit atau banyak yang menjadi lebih kerap dan sekali sekali. Walaupun pendarahan salah satu tanda keguguran, ia juga boleh terjadi pada kehamilan yang normal. Tetapi kalau ia disertai dengan rasa tidak selesa pada bawah perut, kemungkinan besar keguguran akan terjadi.
  • Sakit ~ Anda mungkin mengalami kejang pada pelvis, sakit perut yang berterusan  atau sakit pada bawah belakang. Sakit mungkin berterusan sehingga beberapa hari sebelum atau selepas pendarahan terjadi.
  • Darah ketul dan tisu seperti daging keluar dari faraj. Kadang-kadang agak sukar untuk menentukan dengan tepat samada keguguran sudah terjadi atau tidak, terutamanya apabila tanda yang timbul tidak begitu jelas. Tanda-tanda ini juga berbeza dari wanita ke wanita dan tidak terjadi kepada semua dan ia boleh menimbulkan kekeliruan.
Wanita-wanita yang lebih berisiko untuk mengalami keguguran :-
  • Usia terutama 35 tahun ke atas.
  • Sejarah keguguran berulang iaitu 3 kali ke atas.
  • Sejarah keluarga terdekat yang juga keguguran seperti ibu kandung.
  • Masalah PCOS juga boleh meninggikan risiko keguguran.
  • Masalah kesihatan seperti kencing manis, tiroid atau penyakit imun.
  • Jangkitan kuman seperti bakteria dan virus sebelum dan semasa hamil.
  • Penyakit darah beku seperti antiphospholipid antibody syndrome.
  • Masalah bentuk rahim tidak normal seperti berbentuk T atau bercabang.
  • Pernah hamil dengan anak cacat.
  • Terhentak atau terjatuh dengan kuat dan mendadak seperti semasa kemalangan.
  • Terdedah kepada bahan kimia seperti benzene, arsenic atau formaldehyde sebelum atau semasa hamil.
  • Usia suami lebih daripada lebih 40 tahun.
Faktor lain yang memberi sedikit risiko keguguran termasuklah :-
  • Pemakan ubat NSAIDs seperti ponstans semasa awal kehamilan.
  • Penggunaan alkohol, dadah dan rokok.
  • Gigitan ular.
  • Pengambilan kafein secara berlebihan.
  • Ujian invasive semasa awal hamil seperti chorioamniosis dan chorionic vilous sampling.
Manakala ini pula faktor yang tiada kaitan dengan keguguran :-
  • Terdedah kepada komputer monitor.
  • Hubungan seks.
  • Senaman.

Bagi ibu yang pertama kali mengandung, pasti berasa sedih bila mengalami keguguran di awal kehamilan. Kehamilan adalah masa yang paling sesuai untuk anda menjaga diri anda dengan baik dari kedua-dua segi fizikal dan juga emosi.


Salam sayang, 

MommyLiyana.







 

No comments:

Post a Comment